DUA KALIMAH

Aku Baca Dengan Menyebut Nama-Mu

hatiku sangat cinta kepada-Mu

Bismillahirrahmanirrahim..بِسْمِ-اللهِ-الرَّحْمنِ-الرَّحِيم




"Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau! 

"Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu. 

"Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti 
keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu. 


"Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada Keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa." 


"Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai 
malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? 

Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu." 


"Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu." 

"Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?" 


"Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku didalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu." 


 ¤ ittaqullah ¤

1 comments:

-MawarBerduri Johor- said...

inspired from 'suara hati Rabiah Al-Adawiyy=Rabiatul Adawiyah'

d moment i was planning to change for good, ana selalu sematkn kata2 itu dlm ht

"Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu."

slmt pengatin baru buat dua shbt ana. tolong jg bidadari indah hrpn ummah ksygn ana ye ust


August 28, 2012 at 8:12 PM